PENGENALAN

Rumah tradisional Rembau di Negeri Sembilan merupakan manifestasi seni bina vernakular yang unik, berpaksikan budaya Adat Perpatih yang berasaskan sistem kemasyarakatan matrilineal. Seni bina ini bukan sahaja memenuhi keperluan fungsional tetapi turut mencerminkan nilai simbolik, kemahiran pertukangan tempatan, dan kesinambungan budaya. Antara elemen paling dominan dan signifikan dalam rumah tradisional ini ialah struktur bumbung, yang mencerminkan susun atur sosial, kepercayaan serta identiti kolektif masyarakat setempat. Dalam arus permodenan dan perubahan landskap binaan semasa, bentuk-bentuk tradisional ini kekal relevan sebagai lambang identiti Negeri Sembilan.

Kajian terdahulu telah banyak meneliti rumah Melayu tradisional dari sudut tipologi, budaya dan iklim, namun masih kurang tumpuan diberikan kepada analisis integrasi visual dan konfigurasi struktur bumbung dalam konteks pembentukan identiti seni bina Negeri Sembilan. Ketiadaan kerangka analitikal yang khusus untuk menilai bagaimana elemen struktur menyumbang secara visual kepada pembentukan identiti telah menyebabkan kurangnya penghargaan dan strategi pemuliharaan yang efektif. Tambahan pula, kehilangan pengetahuan tradisional akibat perubahan generasi dan pembangunan pesat bandar membawa kepada keperluan mendesak untuk mendokumentasi serta mentafsir semula makna seni bina ini sebelum ia pupus. Kajian seni bina rumah Melayu tradisional di Malaysia secara umumnya lebih menumpukan kepada aspek tipologi ruang, adaptasi iklim dan ekspresi budaya secara umum, namun masih terdapat kekurangan yang ketara dalam kajian yang meneliti secara spesifik integrasi visual dan konfigurasi struktur bumbung sebagai komponen utama dalam pembentukan identiti seni bina tradisional Negeri Sembilan.

Elemen bumbung termasuk bentuk, sudut cerun, struktur kuda-kuda dan sistem sambungan kayu sering kali dilihat hanya sebagai komponen teknikal atau fungsi, tanpa diberi penekanan terhadap nilai simbolik, representasi adat, serta prestasi persekitaran (seperti pengudaraan semulajadi dan kawalan haba). Kelompongan analisis ini telah mengakibatkan kegagalan untuk memahami bumbung sebagai struktur multidimensi yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan nilai adat matrilineal, status sosial, dan makna budaya masyarakat Negeri Sembilan. Tambahan pula, dalam arus pemodenan dan pembangunan semula perumahan, reka bentuk bumbung tradisional semakin tidak dihargai dan disalah tafsir, menjadikannya terpinggir dalam wacana seni bina kontemporari serta proses konservasi. Ketidaktentuan ini menghalang pembentukan garis panduan pemuliharaan dan reka bentuk semula yang berasaskan nilai budaya, simbolik dan persekitaran, yang sepatutnya menjadi teras dalam pembinaan identiti seni bina tempatan. Kajian ini dijalankan bagi meneliti integrasi visual struktur bumbung dalam rumah tradisional Rembau, Negeri Sembilan, bagi membangunkan satu kerangka yang menghubungkan konfigurasi struktur dengan pembentukan identiti seni bina tempatan.